Sunday, 14 April 2013

APA ITU PBS (PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH)?

PENGENALAN
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah . Ianya dirancang, ditadbir, diskor dan dilaporkan secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).
PBS merupakan salah satu komponen pentaksiran yang dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Demi menjamin kualiti pelaksanaan PBS, mekanisma penyelarasan dan pemantauan akan dilaksanakan untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan kesahan skor pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah.
Sekolah wajib melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi semua mata pelajaran yang mempunyai komponen kerja kursus, amali, projek, modul dan ujian lisan. Keputusan calon akan terjejas sekiranya calon tidak melaksanakan kerja kursus atau tiada markah kerja kursus. Setiap calon mestilah mempunyai semua markah / pencapaian PBS setelah tamat tempoh pelaksanaan. PBS dilaksanakan mengikut garispanduan yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.
KOMPONEN PBS
PBS terdiri daripada Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani & Kokurikulum.
Pentaksiran Pusat
Lembaga Peperiksaan (LP) menghasilkan tugasan, peraturan pelaksanaan dan panduan penskoran serta kaedah pelaporan.
Sekolah mentadbir, menskor hasil kerja murid dan menyediakan pelaporan. Pentaksiran ini bertujuan mengukur proses dan produk yang autentik, dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti :
i. Kerja kursus;
ii. Ujian lisan/bertulis
iii. Tugasan/folio
iv. Pemerhatian
v. Kemahiran amali; dan
vi. Persembahan/pembentangan lisan.
Pentaksiran dilaksanakan oleh guru, pentaksir luar, rakan sebaya, ibubapa, agensi luar dan ahli masyarakat dan dilaksana dalam tempoh yang ditetapkan oleh LP. Penjaminan kualiti dilaksanakan melalui proses pemantauan oleh pihak sekolah dan proses Penyelarasan oleh moderator. Penskoran merujuk standard yang telah ditetapkan. Prestasi bagi murid untuk Tahun 6, Tingkatan 3, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 dilaporkan bersama pelaporan peperiksaan pusat (UPSR/PMR/SPM/STAM). Prestasi murid juga dilaporkan melalui Laporan Perkembangan Murid, Carta Perkembangan Murid dan Rekod Pembelajaran Murid di peringkat sekolah. Pencapaian skor setiap murid dihantar kepada LP mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
Pentaksiran Sekolah
Pentaksiran Sekolah (PS) dirancang, dibina, ditadbir, diskor dan dilapor oleh sekolah, di dalam bentuk pentaksiran formatif yang dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran (Contoh: lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan, tugasan dan tugasan rumah) dalam bentuk pentaksiran sumatif di akhir suatu unit pembelajaran (Contoh: ujian bulanan, ujian semester). Berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning) dengan merujuk kepada Standard Prestasi.
Proses-proses pentaksiran adalah seperti berikut:-
i. mengenal pasti konstruk/perkara yang hendak ditaksir;
ii. merancang, memilih serta membina dan mentadbir instrumen pentaksiran yang memberi peluang keada muri mempamerkan atau mempersembahkan hasil kerja yang relevan.
iii. menilai hasil kerja murid dengan merujuk kepada deskriptor/kriteria dalam standard perstasi dan menentukan tahap pernguasaan murid.
iv. memberi maklumbalas kepada murid tentang prestasinya berdasarkan kekuatan dan kelemahan serta merancang dan melaksanakan langkah penambahbaikan; dan
v. merekod prestasi dalam portfolio untuk rujukan guru, penyelaras, murid dan ibubapa.
Pentaksiran Psikometrik
Suatu instrumen pentaksiran yang direkabentuk untuk
mendapatkan maklumat secara kualitatif dan kuantitatif tentang keupayaan seseorang untuk bertindakbalas dalam suatu cara tertentu. Ia mengukur kebolehan semulajadi (innate ability) dan kebolehan yang diperoleh (acquired ability) daripada pengalaman dan persekitaran. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum dan pengajaran-pembelajaran, dan dibangunkan atas nasihat pakar psikometrik dan ahli psikologi. Ditadbir mengikut keperluan, secara manual atau berkomputer oleh guru atau murid itu sendiri. Laporan pencapaian murid dibuat dalam bentuk deskriptif. Jenis Pentaksiran Psikometrik seperti berikut:
Ujian Aptitud Am
Ukuran gabungan beberapa kebolehan berkaitan :-
a. Visual – ruang – bukan verbal (pintar ruang);
b. Linguistik/verbal (pintar perkataan);
c. Logik-matematik/numerikal (pintar nombor/penakulan); dan
d. Minat dan kecenderungan.
Ujian Aptitud Khusus
Ukuran kebolehan khusus yang berkaitan dengan potensi diri murid dalam sesuatu bidang pekerjaan atau khusus;-
a. muzik (pintar muzik);
b. kreatifviti (pintar minda);
c. interpersonal (pintar orang – pengalaman sosial);
d. intrapersonal (pintar diri – refleksi kendiri);
e. kinestatik – jasmani (pintar jasmani); dan
f. naturalis (pintar naturalisme).
Inventori Personaliti
Ukuran ciri-ciri perilaku istimewa/unik dan stabil yang ada pada
setiap individu yang membezakannya dengan orang lain untuk:-
a. membantu guru mengenal pasti aspek-aspek sahsiah/personaliti individu murid supaya strategi pengajaran yang sesuai dapat digunakan;
b. membantu murid memahami personaliti diri sendiri dan orang lain untuk tujuan berinteraksi; dan
c. mengenalpasti stail pembelajaran dan bukan untuk melabel murid.
Pentaksiran Aktiviti Jasmani & Kokurikulum (PASJK)
Satu bentuk pentaksiran yang mengukur kecergasan dan kesihatan murid dalam pelbagai aktiviti jasmani, serta menilai dan mengukur penyertaan, penglibatan dan prestasi murid dalam pelbagai aktiviti kokurikulum dan ekstrakurikulum. Instrument dan panduan pentaksiran sedia ada dimantapkan oleh LP bersama organisasi yang berkenaan berdasarkan bidang kepakaran masing-masing. Aktiviti Jasmani diukur berdasarkan Standard Prestasi Jasmani iaitu:-
i. Panduan Pentaksiran Aktiviti Pendidikan Jasmani;
ii. Format Pelaporan Body Mass Index (BMI);
iii. Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK); dan
iv. Standard Kriteria Penjagaan Kesihatan.
Manakala aktiviti Kokurikulum diukur berdasarkan Standard Prestasi Kokurikulum. PAJK pula ditaksir menggunakan pelbagai jenis aktiviti dan instrument seperti:-
i. Kecergasan : naik turun bangku, BMI
ii. Kesihatan : pemerhatian, Buku Rekod Kesihatan
iii. Penyertaan : keahlian,kehadiran
iv. Penglibatan : jawatan, komitmen, peringkat; dan
v. Prestasi : pencapaian, sumbangan
Dilaksanakan secara berkala atau berterusan mengikut keperluan.
Ditaksir oleh guru, rakan sebaya, ibubapa dan agensi luar.

No comments:

Post a Comment